*Sejarah awal memperkenalkan Tarian Naga di Batu Pahat, Johor Darul Ta’zim*

DATO’ BENTARA LUAR JOHOR ADALAH TOKOH YANG MEMBAWA MASUK DAN MEMPERKENALKAN TARIAN NAGA DI JOHOR SERTA DIPERSEMBAHKAN OLEH BANGSA MELAYU BATU PAHAT PENGHUJUNG ABAD KE-19

Sepanjang menonton tarian naga yang dipersembahkan setiap kali perayaan Tahun Baru Cina, pastinya kita sentiasa mempercayai bahawa penari di balik pakaian dan kostum naga di sebaliknya, pastilah seorang Cina. Benar, ada penglibatan dari mereka yang bukan berketurunan Cina, tetapi ia hanyalah segelintir sahaja dan tidak melibatkan ahli bukan Cina yang ramai.

Sejarah Kumpulan Tarian Naga Melayu Batu Pahat ini digerakkan oleh Dato’ Bentara Luar Johor, Mohd. Salleh Bin Daeng Perang (1841-1915) ketika beliau membangunkan Batu Pahat. Selepas bertugas di Muar sekitar 1884, Datuk Bentara Luar kemudiannya ditugaskan menjaga keamanan di Batu Pahat bermula pada 1893.

Di Muar, beliau memulakan kerjaya sebagai Kerani Temenggung Ibrahim, manakala di Batu Pahat, tanggungjawab beliau yang dititah Temenggung Ibrahim pada masa itu adalah sebagai Pesuruhjaya Polis Johor yang menjaga urustadbir keselamatan negeri, juga bertanggungjawab mengawal selia pentadbiran Pasukan-pasukan Pengaman (Polis) Johor ketika itu.

Petani-petani Cina ini asalnya datang dari Tanah Besar China sekitar 1830an daripada keturunan Tiew Chew. Mereka datang ke Johor untuk satu kehidupan baharu dan membuka penempatan, apa yang kita pernah belajar sebagai ‘Kangkar’ yang diketuai oleh seorang ‘Kangchu’ di dalam buku-buku sejarah sekolah dahulu. Konflik dan salah faham antara kangchu, melibatkan beberapa kangkar misalnya adalah antara isu yang perlu ditangani oleh Datuk Bentara Luar bagi memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat Cina tersebut.

Ia tambah merumitkan apabila konflik tersebut turut tidak disenangi masyarakat Melayu sendiri yang asalnya telah berada di situ sejak sekian lama. Kekerapan berurusan dengan petani-petani Cina di Johor ini menyebabkan beliau mengambil inisiatif mempelajari adat resam, budaya, bahasa malah mengambil cakna keperluan urusan harian kaum Cina di Johor. Datuk Bentara Luar mahu mendalami bagaimana masyarakat Cina hidup dan bagaimana keharmonian bermasyarakat bersama kaum-kaum lain di Batu Pahat.

Hubungan baik beliau dengan seorang singse (tabib) Cina di Johor iaitu Chai Ah Seng menjadikan beliau seorang yang akhirnya fasih berbahasa Cina, arif tentang budaya dan latarbelakang masyarakat Cina Johor, malah turut cekap bermain alat muzik dan pancaragam Cina ketika itu. Hasil kesungguhan beliau mendalami cara hidup, adat resam dan kefasihan berbahasa Cina menjadikan beliau terpilih sebagai Menteri Pengiring kepada delegasi Johor ke China pada 1885.

Beliau pernah juga dijemput untuk merasmikan Bangunan Dewan Perniagaan Cina Penggaram pada 1905 dan menyampaikan ucapan penuh di dalam bahasa Cina. Dato’ Bentara Luar dipercayai adalah tokoh yang memperkenalkan Tarian Naga untuk dipersembahkan oleh orang Melayu Batu Pahat bermula sejak penghujung abad ke-19 lagi. Segalanya bermula semasa Pesta Seni Budaya pada tahun 1899 sempena Sambutan Keputeraan Sultan Johor. Ketika itu, pesta tersebut disertai banyak kumpulan kebudayaan, muzik dan seni persembahan pelbagai kaum di Bandar Penggaram. Seperti pesta-pesta lain yang diadakan, orang Melayu hanya mempersembahkan Ghazal, Joget, Mak Yong dan Barongan. Kaum Cina pula sekadar mempersembahkan Wayang Cina semata-mata.

Namun pada malamnya, sekumpulan anak muda Melayu Batu Pahat mempersembahkan Tarian Naga yang tidak pernah disaksikan oleh penduduk Bandar Penggaram dan seluruh Batu Pahat sebelum ini. Sejak itu, Tarian Naga yang dipersembahkan oleh pemuda Melayu Batu Pahat menjadi persembahan yang ditunggu-tunggu setiap kali pesta sama diadakan.

Perarakan Tarian Naga ini menjadi begitu popular di Batu Pahat masa itu tiap kali sambutan Hari Yang Maha Mulia Sultan Johor tiap2 tahun ‘perarakan Naga’ tiada ketinggalan. Begitulah bila diadakan sebarang hari kebesaran, Naga pun keluarlah berarak. ‘Naga Melayu’ telah berhenti menari pada tahun 1955, dibubarkan kumpulannya sebaik sahaja selepas mereka bergambar seperti di bawah buat kali terakhir pada tahun 1955. Ia kini hanya kekal sebagai satu lipatan sejarah Melayu di Batu Pahat. Apa yang terjadi kepada pakaian dan kostum, ukiran kepala naga dan geliga serta alat-alat muzik kumpulan itu tidaklah diketahui sehingga kini.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! SK Press

sumber :THE PATRIOTS


Apa kata anda?

Be the first to comment on "*Sejarah awal memperkenalkan Tarian Naga di Batu Pahat, Johor Darul Ta’zim*"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*