Doa Untuk ‘Strangers’

DALAM meniti hidup, kita diajar tentang kuasa doa. Rata-rata di antara kita seringkali melafaz doa sebaik selesai solat atau ketika dalam buntu diuji Tuhan yang satu.

Doa kita pula ditujukan kepada diri sendiri dan orang-orang terdekat yang kita kenali, sayangi dan mempunyai keprihatinan terhadap diri kita.

Tetapi, pernahkah kita mendoakan orang-orang yang berada di sekeliling kita, yang tidak kita kenali, yang asing pada kita, yang tidak mempunyai hubungan langsung dengan kita, malah tidak pernah pun kita atau mereka sendiri tahu perihal hidup satu sama lain?

Dan, perlukah kita mendoakan mereka?

Perjalanan kita di bumi Tuhan ini sering menemukan kita dengan mereka yang kita panggil ‘strangers’.

Apakah kaitan mereka dengan kita? Bagaimana mereka yang digelar ‘strangers’ ini boleh memberi impak dalam kehidupan kita?

Cuba kita lihat pada situasi perjalanan kita di bumi ini. Setiap kali kita keluar rumah, kita melafaz doa sebelum melakukan sesuatu untuk meraih perhatian Allah, untuk meminta perlindungan Allah.

Doa keluar rumah, doa makan, doa penerang hati dan pelbagai lagi doa agar urusan kita sentiasa dalam pertolongan Allah.

Doa naik kenderaan dan doa memohon keselamatan sebelum keluar rumah, bila diamal in-sha-Allah akan terpelihara diri kita daripada mara bahaya dan urusan perjalanan dipermudahkan.

Tetapi, dalam pada kita menuju ke destinasi, kita melihat pula kemalangan yang melibatkan kenderaan lain di sekeliling kita.

Ada yang berlaku betul-betul di hadapan mata dan mungkin juga hampir mengenai kita. Saat itu, serba sedikit tentu tercuit rasa takut di hati nurani kita.

Takut jika nyawa kita melayang sama. Takut kerana kita tidak pernah bersedia.

Doa.

Doa kita tidak cukup menyeluruh. Kem4l4ngan yang hampir menyeret kita ke kancah gadaian nyawa berpunca daripada sekeliling kita yang tidak mencakupi doa kita.

Doakan orang-orang di sekeliling kita juga. Doakan mereka yang kita panggil ‘strangers’. Doakan agar keselamatan mereka turut terpelihara.

Doakan agar mereka memandu dalam keadaan sedar dan mengikut corak pemanduan yang sepatutnya. Doakan agar malaikat jaga mereka, jaga kita dan jaga orang-orang lain juga.

Doa…

‘Ya Allah pelihara keselamatanku dan orang-orang di sekelilingku. Permudahkanlah urusan perjalananku, dan perjalanan mereka juga.’

Hanya sebaris sudah cukup. Lebih-lebih lagi di waktu-waktu cuti perayaan yang mana jalan raya sesak dengan kenderaan. Ibarat sungai yang penuh sehingga kadangkala alirannya tersekat, tidak mampu bergerak.

Pada hari itu hati-hati cepat panas dengan pelbagai rintangan, sama panas dengan enjin kenderaan.

Doalah untuk kita dan mereka yang bergelar ‘strangers’. Bergeraklah di bumi Tuhan ini dengan doa. Bukan setakat kita berusaha dengan memandu secara berhemah. Bukan setakat polis melakukan pemantaun dan menyua saman sebagai peringatan, tetapi doa.

Berdoalah agar jalan raya kita ‘bahagia’ daripada malapetaka dan kem4l4ngan jiwa. Doalah untuk kita dan orang-orang yang tidak kita kenal, tetapi keberadaan mereka memberi implikasi terhadap kehidupan kita.

Doa itu ikatan ukhuwah batiniah kepada ‘strangers’ dan yang pasti mereka itu tidak pernah tahu.

Mereka tidak akan percaya bahawa mereka menerima doa daripada orang yang tidak pernah mereka kenal, yang membantu mempermudahkan perjalanan mereka, tanpa mereka sedar.

Tetapi, Allah tahu. Selalu tahu.

Doalah untuk mereka.

Doa, sedekah yang tidak terlihat.

Ukhuwah yang terikat melalui hati yang ikhlas.

Rahsia yang tersembunyi yang Allah sahaja yang mengetahui.
Senjata dan perisai yang disediakan Allah ketika kita tidak punya apa kecuali Dia.

Memohon pada Dia, untuk keselamatan diri kita dan keluarga, juga tidak lupa untuk mereka yang bergelar ‘strangers’.

Sekecil-kecil perkara yang kita lakukan di luar pengetahuan manusia lain, tetapi tidak jauh daripada pengetahuan Allah akan memberi impak yang amat besar dalam menuju ke dunia kekal. In-sha-Allah.

Berdoalah untuk mereka juga!

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! SK Press

Sumber : Iluvislam

 


Apa kata anda?

Be the first to comment on "Doa Untuk ‘Strangers’"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*