Ramai Bergegas Pulang Dari Sempadan, Nak Elak Bayar RM150 Selama 14 Hari Kuarantin

Ramai Bergegas Pulang Dari Sempadan, Nak Elak Bayar RM150 Selama 14 Hari Kuarantin

SINGAPURA: Rakyat Malaysia di Singapura bergegas pulang ke tanah air semalam, selepas kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa sesiapa yang baharu pulang dari luar negara bermula hari ini perlu jalani kuarantin wajib.

Mereka perlu menjalani kuarantin di pusat yang disediakan kerajaan dan menanggung segala kos berkaitan.

Bagaimanapun, mereka yang sempat pulang semalam sebelum tarikh akhir itu, boleh menjalani kuarantin di rumah masing-masing, asalkan disahkan negatif C0VID-19 sebelum memasuki Malaysia.

Seorang warga Malaysia, Toh Siew Choo, sebelum ini merancang untuk pulang ke rumahnya di Johor Baharu Ahad ini, namun seperti ramai rakyat Malaysia lain di Singapura, beliau segera menukar rancangan sebaik pengumuman itu dibuat.

Beliau yang berusia 50 tahun dan bekerja sebagai pengasuh di Singapura, sudah enam bulan tidak bertemu keluarganya.

“Saya sudah lama menyimpan hasrat untuk pulang kerana amat merindui keluarga dan biasanya akan melawat mereka setiap bulan atau setiap dua bulan.

“Kali ini, saya memutuskan untuk balik awal supaya dapat menghabiskan lebih banyak masa bersama mereka, berbanding terpaksa menginap di pusat kuarantin,” katanya.

Beberapa warga Malaysia yang ditemui wartawan di luar Pusat Pemeriksaan Woodlands semalam, berkata mereka mahu mengelak dikuarantin di premis ditetapkan kerajaan.

Ini kerana mereka difahamkan, masing-masing perlu membayar kira-kira RM150 sehari sepanjang tempoh kuarantin selama 14 hari.

Gambar menunjukkan barisan panjang di laluan berhampiran pusat pemeriksaan Johor Bahru memenuhi media sosial sejak pagi semalam.

Krishna Murthy, 32, yang bekerja dalam sektor minyak dan gas, berkata beliau tidak sabar untuk pulang sebelum syarat baharu kuarantin wajib di pusat ditetapkan kerajaan berkuatkuasa.

“Saya memohon cuti untuk pulang bertemu keluarga dan akan kembali bekerja di Singapura apabila kedua-dua negara mencapai persetujuan membuka ‘laluan hijau’,” katanya.

Sumber : BeritaHarian


Apa kata anda?

Be the first to comment on "Ramai Bergegas Pulang Dari Sempadan, Nak Elak Bayar RM150 Selama 14 Hari Kuarantin"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*