Kula Segaran perlu disekolahkan jadi menteri berbudi pekerti. Isu rancangan masukkan 150,000 pekerja Pakistan.

Menteri Tenaga Manusia akan mengadakan sidang media sebaik sahaja sesi lawatan dan taklimat ke Mahkamah Perusahaan Malaysia

MTUC amat terkilan dengan tindakan terbaru Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran melontar tuduhan dan kritikan melulu terhadap Setiausaha Agung MTUC J Solomon.

Perlakuan tidak senonoh itu adalah untuk membalas tindakan Solomon menggesa Kula Segaran mendapatkan penjelasan mengenai laporan media bahawa Malaysia merancang mengambil masuk sehingga 150,000 warga Pakistan untuk bekerja sebagai pegawal keselamatan.

Desakan Solomon itu dibuat bersandarkan kedudukan Kula Segaran sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas sektor buruh, termasuk buruh asing di negara ini.

Berdasarkan kedudukannya itu, sudah pasti menjadi tanggungjawab Kula Segaran memperolehi penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri secara terus atau menerusi mesyuarat Kabinet mengenai laporan media berkenaan yang memetik sumber rasmi iaitu Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia.

J Solomon.

Gesaan itu menjadi intipati kenyataan Solomon pada 12 Feb lalu. Selain itu, Solomon telah juga menzahirkan kebimbangan mengenai risiko keselamatan jika laporan itu benar dan limpahan warga asing berpendidikan rendah diamanahkan mengawal aset awam, kawasan perumahan dan harta benda lain.

Sayugia diingatkan bahawa kenyataan Solomon itu disiarkan selepas Kula Segaran berkata laporan media itu perlu dirujuk kepada KDN dan ia tiada kena mengena dengan Kementerian Sumber Manusia. Kenyataan Solomon juga dikeluarkan sebelum KDN mengulas laporan media berkenaan.

Malangnya semalam (13 Feb) Kula Segaran “menyerang” Solomon dengan kata-kata tidak senonoh, yang sekali lagi mendedahkan beliau sebagai seorang menteri yang tidak boleh menerima cadangan atau teguran membina.

MTUC berpendapat bahawa Kula Segaran sepatutnya tidak bermasalah untuk memberi komitmen mendapatkan gambaran atau penjelasan lanjut daripada agensi/kementerian mengenai laporan media mendakwa ribuan warga Pakistan berkemungkinan dibawa masuk menjadi pengawal keselamatan di Malaysia

Tidak salah untuk Solomon mencadangkan sedemikian dan sudah tentu tidak salah untuk menteri berusaha mendapatkan penjelasan mengenai sesuatu pekara yang amat berkait rapat dengan bidang kerja kementerian yang di pimpinnya.

Sebaliknya, Kula Segaran bertindak kebudak-budakan apabila rata-rata menolak cadangan MTUC itu dan sebaliknya menyerang keperibadian Solomon dengan kata-kata kesat yang tidak masuk akal, dan kosong dari segi fakta.

Adalah jelas Kula Segaran perlu disekolahkan mengenai cara-cara menjadi seorang menteri bertanggungjawab, terbuka kepada kritikan membina dan paling penting, berbudi pekerti.

Kula Segaran amat memerlukan persekolahan ini kerana MTUC mendapati beliau semakin “liar” dan ghairah membidas pemimpin kesatuan yang tidak sehaluan atau bersependapat dengan beliau. MTUC sering menjadi sasaran tidak adil ini.

MTUC juga ambil maklum bahawa Kula Segaran sekian lama bertindak memadam dan “menyekat” apa sahaja kritikan terhadap kenyataan orang ramai dan warga pekerja di laman Facebook beliau.

Semua ini memaparkan beliau semakin angkuh dan membelakangkan luahan dan perasaan pekerja mahu pun peka terhadap kebajikan mereka.

Apa pun, selaku presiden MTUC , setiausaha agung saya, Solomon dan pemimpin lain akan terus bersuara lantang dalam isu yang melibatkan kepentingan pekerja serta rakyat di negara.

Kami menggesa Kula Segaran supaya lebih matang dan ikhlas apabila berdepan dengan cadangan atau teguran kami kerana ia dibuat dengan niat baik.

Sejauh mungkin kami mengelak daripada mengkritik menteri kecuali jika perlu.

Oleh kerana itu, MTUC “diam” dan menerima penjelasan Kula Segaran bahawa PERKESO boleh bertindak tanpa pengetahuannya apabila membekukan permohonan baru untuk rawatan dialisis percuma bagi pencarum tertentu.

Ini juga mendedahkan kelemahan atau kepincangan menteri dalam mengurus agensi di bawah bidang kuasanya.

Justeru, bukan kami di MTUC yang memerlukan sebarang persekolahan, tetapi Kula Segaran sendiri perlu meningkatkan tahap kecekapan dan kemampuan beliau mengurus Kementerian Sumber Manusia.

Apa pun, kami gembira kerana hasil teguran kami dan rakyat amnya, PERKESO memulihkan kemudahan dialisis itu seperti sebelumnya.

Apa yang kami harapkan ialah Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran tidak cepat melatah dan terbuka dan menghormati hak dan perjuangan pemimpin kesatuan sekerja yang mendokong dan melaksanakan amanah.

Abdul Halim Mansor adalah presiden MTUC.

sumber : FMT


Apa kata anda?

Be the first to comment on "Kula Segaran perlu disekolahkan jadi menteri berbudi pekerti. Isu rancangan masukkan 150,000 pekerja Pakistan."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*