“Kita orang kenal di Instagram dan mula-mula mesej peribadi dan lepas tu mula berbual melalui Whatsapp”. Youtuber Alieff Irfan kahwin di usia muda

PERKENALAN singkat selama lima bulan akhirnya membawa hubungan personaliti media sosial, Alieff Irfan dan wanita pilihannya Nurul Nabilah Aliah Hazman ke jenjang pelamin.

Menurut Alieff, 23, dia mengenali isterinya itu menerusi Instagram dan mula serius memikirkan untuk mendirikan rumah tangga setelah menemui keserasian dalam perhubungan.

“Kita orang kenal di Instagram dan mula-mula mesej peribadi dan lepas tu mula berbual melalui Whatsapp… dia tahu saya sebagai Youtuber tapi kenal-kenal gitu saja, bukanlah peminat sangat!

“Perkenalan kami singkat kira-kira lima bulan lepas, selepas sebulan kenal barulah kita mula serius fikirkan fasal perkahwinan, jadi bulan Januari kita bertunang dan berkahwin,” katanya kepada mStar.

Alieff atau nama sebenar Muhammad Aliff Irfan Aziki dan Nurul Nabilah Aliah Hazman, 25, selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada Jumaat.

Pasangan ini bernikah di kediaman pengantin perempuan di Segamat, Johor.

Majlis resepsi akan diadakan pada malam Sabtu di lokasi yang sama dan majlis resepsi di pihak lelaki berlangsung pada 29 Januari ini di Kelantan.

Sementara itu, Alieff berkata dia berkahwin di usia muda bagi mengelakkan diri terjerumus ke lembah maksiat.

Malah, dia juga sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan mahukan seorang teman dalam hidup.

“Ramai tanya saya kenapa kahwin di usia muda… saya sebenarnya dah fikir masak-masak dengan keluarga dan buat solat istikharah, saya nampak petunjuk ini adalah keputusan yang tepat.

“Saya berkahwin sebab nak elakkan maksiat, melihat kepada kedudukan saya yang lebih terbuka dengan pelbagai dugaan membuatkan saya bimbang terjerumus ke lembah maksiat, jadi saya ambil keputusan untuk segera berkahwin.

Perkenalan singkat selama lima bulan membawa ke gerbang perkahwinan.

“Alhamdulillah isteri memahami dan selepas ini kita akan lebih tahu batas-batas dalam menghasilkan video. Saya juga merancang nak wujudkan satu akaun Youtube untuknya tidak lama lagi,” katanya.

Ditanya mengenai bulan madu, Alieff berkata dia masih belum mempunyai lokasi dan waktu sesuai kerana terikat dengan komitmen lakonan.

Honeymoon tak rancang lagi sebab saya ada penggambaran filem Daddy Gangster tak lama lagi, sebab itu kami belum fikir lagi mengenai bulan madu.

“Kita tunggu selesai kerja dulu barulah fikir mengenai honeymoon, rasanya macam teringin nak pergi ke Maldives.

“Tentang anak? Kita tak merancang… bersedia sahaja, kalau rezeki itu datang awal kami terima!,” ujarnya yang merancang mahu memiliki lima orang cahaya mata.


Apa kata anda?

Be the first to comment on "“Kita orang kenal di Instagram dan mula-mula mesej peribadi dan lepas tu mula berbual melalui Whatsapp”. Youtuber Alieff Irfan kahwin di usia muda"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*