“Ibu sukar tidur, kakak ipar banyak berdiam” – Ali Puteh, adik arwah Abam.

Ali memberitahu ibu dan kakak iparnya Nor Hidayah masih terkesan dengan pemergian Abam.

SELEPAS empat hari pemergian pelawak Abam Bocey, adiknya Ali Puteh memberitahu ibu dan kakak iparnya Nor Hidayah masih terkesan dengan kehilangan itu.

Menurut Ali atau nama sebenar Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 31, ibunya Sabariah Arshad mengalami kesukaran untuk tidur kerana terkenangkan Allahyarham.

“Keadaan ibu sekarang macam biasa la, dia masih lagi terkenangkan arwah Abam. Waktu siang, dia boleh berborak-borak la juga.

Sabariah masih terkenang arwah Abam.

“Tapi bila waktu malam saja, dia susah tidur dan akan berborak mengenai arwah sampai la pukul 3, 4 pagi baru boleh tidur.

“Buat masa sekarang ini, saya dan isteri serta anak-anak tinggal bersama ibu. Setiap malam kami akan teman ibu tidur.

“Walaupun saya sendiri pun masih lagi belum dapat terima hakikat itu tapi terpaksa juga kuat demi ibu,” kata Ali ketika dihubungi mStar pada Khamis.

Tapi bila waktu malam saja, dia susah tidur dan akan berborak mengenai arwah sampai la pukul 3 hingga 4 pagi baru boleh tidur.

ALI PUTEH

PELAWAK

Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, meninggal dunia selepas dua hari mengalami demam panas di kediamannya, Gombak, pada pagi Isnin.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Nor Hidayah dan seorang anak lelaki bernama Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia lima bulan.

Sementara itu, Ali memberitahu dia akan cuba sebaik mungkin menguruskan harta yang ditinggalkan Allahyarham.

“Memandangkan rumah ada banyak bilik, ibu bapa mentua arwah pun tinggal bersama kami buat masa kini.

“Hidayah memang banyak berdiam tapi saya nampak juga dia ada la berborak dengan tetamu.

“Insya-Allah saya akan cuba membantu isteri dan anak Abam.

Saya akan cuba susun sebaik yang mungkin harta peninggalan arwah untuk anaknya Hamzah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ali berterima kasih kepada semua tetamu yang masih lagi berterusan menziarahi rumah dan kubur arwah sehingga kini.
“Alhamdulillah, sampai sekarang sudah empat hari arwah meninggal dunia tapi rumah sentiasa dipenuhi orang ziarah. Dari pagi sampai malam ada sahaja yang datang, kebanyakan mereka dari jauh.
“Mereka kawan-kawan dan kenalan arwah yang tak dapat datang pada hari pengebumian,” ujarnya.

sumber: mstar


Apa kata anda?

Be the first to comment on "“Ibu sukar tidur, kakak ipar banyak berdiam” – Ali Puteh, adik arwah Abam."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*