Penyanyi Terkenal 80an Wann Akhirnya Muncul Kembali Dan Dedah Punca Dia Lama Menyepi

Lama tidak membuat persembahan di hadapan peminat setianya, pe­nyanyi popular era 80-an, Wann teruja apabila bakal menjayakan persembahan Makan Malam Live Bersama Wann di Hotel The Pearl, Kuala Lumpur pada 7 September ini anjuran Mareepoosa Creative & Event.

Wann atau nama sebenarnya, Wan Rashidah Meor Abdul Rashid, 49, berkata, ramai peminat sering bertanyakan bila dia akan tampil dengan satu persembahan.

“ Ramai peminat selalu bertanya bila saya akan mengadakan persembahan di sini. Sejak saya mula aktif di laman sosial banyak soalan yang sama saya terima.

“ Kadang-kadang kasihan juga kepada peminat yang rindu mendengarkan suara saya. Tidak saya nafikan, sejak berpindah mengikut suami ke Singapura, saya banyak fokus persembahan di sana.

” Apabila saya ditawarkan mengadakan persembahan di sini, rasa sangat teruja dan tidak sabar mahu menghiburkan mereka,” kata­nya.

Berkongsi mengenai konsep persembahannya pada malam itu nanti, Wann berkata, tujuan persembahan itu lebih kepada mendekatkan diri dengan peminat di sini yang merindui dirinya.

“ Persembahan itu adalah di majlis makan malam dan saya tidak mahu terlalu fokus menyanyi, sebaliknya lebih kepada beramah mesra dengan peminat.

“ Kerana itulah saya tidak meletakkan sasaran berapa lagu akan dipersembahkan, malah saya akan turut berduet dengan beberapa peminat bertuah pada malam itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Wann berkata, dia juga rindu untuk tampil dengan single terbaru selepas lebih 20 tahun terbabit dalam industri muzik.

“ Sejujurnya saya memang rindu sangat untuk tampil dengan single baru. Terlalu lama saya hanya fokus dengan lagu-lagu yang sedia ada.

” Saya berharap sangat selepas ini dapat peluang menyanyikan lagu baru sekurang-kurangnya satu lagu. Konsepnya biarlah kekal sama dengan konsep popular saya sebelum ini seperti Latin atau cha cha tetapi dengan elemen yang moden,” katanya.

Wann berkata, dia turut gembira walaupun tiada lagu baru, anak muda sekarang turut kenal akan lagu-lagu lamanya seperti Bossanova, Lamunan Hati, Terlerai Kasih, Aku, Dia dan Lagu dan Joget Siapa Dia.

“ Saya bersyukur lagu-lagu saya masih diingati malah di Singapura, anak muda apabila mendengar lagu saya mereka sudah boleh agak siapakah penyanyinya.

“ Malah lagu Bossanova juga terus dikaitkan dengan saya, sedangkan penyanyi asal lagu berkenaan ialah Allahy4rham Puan Sri Saloma,” katanya.

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! SK Press

Sumber: hmetro via RimbaBara

 


Apa kata anda?

Be the first to comment on "Penyanyi Terkenal 80an Wann Akhirnya Muncul Kembali Dan Dedah Punca Dia Lama Menyepi"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*