Kepentingan Ulama’ dan Umara’

Kedua-duanya, ulama dan umara merupakan dua institusi penting yang bertanggungjawab menentukan perjalanan kehidupan ummah keseluruhannya berada di atas landasan kebenaran atau dengan kata lain mengguruskan kehidupan dunia berlandaskan syariah.

Ternyatalah bahawa ulama mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Rasulullah meletakkan mereka sebagai pewaris para nabi.

Dengan pengertian lain, ia menjadi pengganti nabi dalam menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya. Persoalan al-Imarah atau kepimpinan sebagai suatu yang amat penting dan utama.

Para sahabat Rasulullah amat memahami perkara ini sehinggakan mereka menangguhkan urusan pengkebumian jen4zah Baginda semata-mata menyelesaikan urusan perlantikan pemimpin baru umat Islam.

Perkara ini berakhir dengan pemilihan Abu Bakar sebagai khalifah yang pertama. Institusi umara’ bertanggungjawab mewarnakan sistem politik yang benar dan tepat menurut kehendak Islam.

Agenda pembangunan ummah hanya dapat berjalan dengan lancar menurut syariah Allah sekiranya institusi ini diuruskan dengan baik.

Demikian pula sebaliknya, sekiranya kepimpinan itu berpindah tangan kepada manusia yang tidak bertanggungjawab, maka semangat ‘baldatun toyyibah warabbun ghafur’ tidak akan terlaksana.

Justeru, tanggungjawab kepimpinan Islam adalah untuk menjaga dua perkara. Pertama; menjaga agama dan mendaulatkan Islam dan kedua adalah menguruskan dan mentadbir negara mengikut landasan Islam.

Kepimpinan negara tidak boleh mengadakan sebarang aktiviti atau menguatkuasakan peraturan dan undang-undang mengikut selera atau pandangan mereka semata-mata, sebaliknya mereka mestilah merujuk kepada ketetapan Islam dari segi halal dan h4ram.

Ini kerana kepimpinan Islam mempunyai keyakinan bahawa pengurusan negara tidak mengambil kisah soal halal dan h4ram tidak akan membawa kepada kejayaan dan keberkatan.

Sebaliknya mereka mereka yakin bahawa limpahan nikmat Allah memayungi kemajuan yang mereka capai yang diasaskan kepada prinsip taqwa itu tadi.

Kerjasama dua institusi penting ini tidak menjadi isu kerana sejarah Islam membuktikan seorang pemimpin adalah seorang yang bertaraf ulama.

Diskusi mengenai perkara ini tidak terjadi kerana pemimpin masa itu mempunyai keupayaan membuat rujukan secara persendirian tanpa melupakan prinsip syura.

Saidina Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Uthman dan Ali adalah khulafa yang mengambil alih tempat nabi dalam urusan kepimpinan dan keagamaan.

Justeru itu, para cerdik pandai Islam yang menulis buku di bidang siasah dan pentadbiran negara menyatakan bahawa jawatan-jawatan penting di dalam negara seperti khalifah, perdana menteri dan para hakim hendaklah disandang oleh para ulama mujtahidin daripada kalangan ulama Islam.

Tetapi apabila kepimpinan beralih tangan kepada kalangan yang bukan bertaraf ulama, persoalan ini timbul.

Terdapat cendiakawan Islam mengatakan bahawa mengetahui syariat Islam sampai peringkat ijtihad adalah salah satu daripada syarat-syarat kelayakan untuk menjadi ketua negara dan perdana menteri di dalam negara Islam.

Perkara ini tidak dapat dipraktiskan dengan baik disebabkan kemuflisan amir daripada sudut keilmuan.

Perbahasan mengenai kedudukan ulama dan keterlibatan mereka dalam pemerintahan menjadi semakin kritis apabila negara-negara umat Islam disekularkan oleh penjajah.

Mereka merancang pemisahan gereja daripada sistem pemerintahan negara. Mereka medualismakan cara hidup umat Islam. Satu cara hidup perseorangan dan kekeluargaan dan satu lagi cara hidup bernegara.

Hal ini menjadikan sistem politik, pentadbiran, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan dan perekonomian negara umat Islam dipisahkan daripada sistem Islam.

Kesan dari itu, kebanyakan negara umat Islam menganuti dua fahaman penasihat kepada pemerintah; penasihat agama yang dinamakan mufti dan satu lagi penasihat undang-undang.

Namun demikian para mufti tidak diberikan kuasa atau peranan yang sewajarnya di dalam sebuah negara.

Sekalipun demokrasi menjadi amalan, namun mereka seolah-olah tidak dianggap orang yang begitu penting.

Pandangan mereka tidak wajib ditaati oleh kerajaan berbeza dengan pandangan penasihat undang-undang atau peguam negara.

Ekoran daripada itu, institusi ulama tidak diberi penghargaan dan penghormatan yang sewajarnya.

Dalam keadaan begini, ulama mula berpecah kepada beberapa golongan dan jalinan kerjasama antara mereka yang mulai rapuh.

Paling tidak terdapat dua golongan ulama; ulama yang baik dan ulama yang jahat.

Ulama yang baik, bertaqwa, ikhlas, amalan dan ibadat mereka semata-mata kepada Allah. Mereka tidak mengasingkan diri daripada dunia, malah berikhtiar bertaqarrub kepada Allah melalui program nasihat menasihati.

Ulama jahat ialah mereka yang mencari makan dengan menggunakan agama dan memperniagakan syariat. Mereka menghampiri semua taghut, bersahabat dengan semua yang jahat dan zalim. Mereka terus menyokong golongan tersebut.

Apabila ulama mula berpecah, maka rentetan perpecahan itu menjalar ke akar umbi masyarakat sebagaimana setiap kumpulan mempunyai penyokong dan pengikut yang tersendiri.

Ulama dan umara mewakili dua institusi penting yang menjadi tonggak kesejahteraan masyarakat. Sekiranya kedua-dua institusi ini dipandu syariat, maka masyarakat akan berada dalam rukun dan damai.

Sekiranya mereka menyimpang dari kebenaran, maka masyarakat tidak akan bertemu dengan jalan keberkatan.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! SK Press

Sumber : Iluvislam

 


Apa kata anda?

Be the first to comment on "Kepentingan Ulama’ dan Umara’"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*